SEJARAH

Habib membina langkah sebagai MA Habib Mohamed di Pit Street, Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai ‘Jewellery Corner’. Bermula sebagai perniagaan keluarga yang diusahakan secara kecil-kecilan, ia berkembang kepada Habib Corporation Berhad yang menyediakan pelbagai pilihan barangan kemas untuk semua golongan usia.

Pembabitan dalam bidang perniagaan barang kemas bermula secara kecil-kecilan saja. Pada 1949 beliau fikir sudah masanya untuk beliau menyara keluarga dan berkerja dengan orang di kedai emas. Lama-kelamaan beliau fikir ingin memiliki perniagaan sendiri saja. Beliau memilih perniagaan emas kerana tidak perlu bersusah payah di tengah panas membanting tulang, dan lagi pun, emas itu sendiri memang tidak pernah turun harga. Pada 1958 bermulalah episod hidup sebagai peniaga barangan kemas dengan modal RM3,800, bermula di Pulau Pinang dengan nama MA Habib Mohamed. Ketika itu beliau mengambil barang kemas daripada kedai pajak dan beliau bersihkan ia menjadi cantik lalu dijual kepada kedai emas lain, seperti pemborong. Daripada perniagaan yang kecil ia bertambah besar. Ketika itu memang beliau tidak mempunyai sebarang idola dan hanya memikirkan untuk membuka perniagaan barang kemas pada harga berpatutan saja mengikut cara perniagaan yang beliau aturkan sendiri rentaknya. Lagipun pada masa itu perniagaan bersifat untuk menyara hidup saja. Tidak sangka ia bertambah laris.

Apabila perniagaan semakin menguntungkan, pada 1970-an beliau menambah dua lagi cawangan iaitu Siti Emas dan Puteri Emas, tetapi kedua-duanya kurang memberangsangkan, mungkin kerana nama tidak begitu komersial maka tidak lama selepas itu ia ditutup dan beliau membuka cawangan di Semua House, Kuala Lumpur pada 1987. Beliau memberanikan diri menghasilkan sendiri produk daripada bahan mentah kepada barangan siap. Beliau menghasilkan produk yang diingini wanita seperti bercorak flora dengan hasil berkualiti.

Beliau mempunyai lima anak dan yang tunggal lelaki ialah Meer Sadik (Datuk) yang mengambil jurusan perniagaan. Selepas tamat belajar, beliau terus beliau bawa bekerja di bilik pameran Habib di Semua House secara sambilan. Meer pada masa itu juga meminati bidang pengiklanan dan beliau mendapat banyak tawaran menjadi model iklan. Beliau sangat percaya terhadap pelaburan di dalam kegiatan pemasaran dan pengiklanan melalui media massa dan sangat agresif memasarkan Habib menerusi radio dan televisyen. Beliau perhatikan, pelanggan semakin ramai mengunjungi bilik pameran Habib dan beliau fikir itu sebenarnya strategi pemasaran dan pengiklanan yang diperoleh menerusi pembelajarannya dalam bidang perniagaan di luar negara. Sejak menerajui perniagaan, beliaulah menggalakkan pengiklanan yang mana sebelum itu memang tidak pernah beliau lakukan. Beliau fikir kombinasi antara didikan moden dan cara tradisional membina perniagaan menjadi kombinasi unik dan bermanfaat. Begitupun untuk beliau mengekalkan perniagaan ini bukan kerja mudah, sebaliknya berusaha menampung kos dengan melakukan pelbagai kerja seperti membuka kedai bunga, kedai menjual kekabu bantal serta serbuk kopi. Beliau memang berusaha keras dan percaya sesiapa saja atau dalam bidang apa sekalipun anda ceburi, sekiranya anda berusaha, tentu akan mendapat ganjarannya.

Beliau mengharapkan Meer kerana anak lain semua perempuan dan ada mengikut suami ke luar negara. Meer, ahli gemologi terlatih daripada Gemological Institute of America, dan pemegang ijazah pengurusan perniagaan. Beliau kini menjadi Pengarah Urusan dibantu isterinya Zarida (Datin Zarida Noordin), banyak perubahan dilakukan termasuklah mempergiatkan promosi dengan kos pengiklanan media cetak dan televisyen pun mencecah ratusan ribu ringgit. Mula-mula beliau fikir ia agak membazir, tetapi dalam jangka panjang ia cukup berbaloi. Begitu juga dengan penambahan cawangan. Kerja keras itu melayakkan Habib menerima beberapa anugerah berprestij seperti memenangi Reader’s Digest Trusted Brand Award untuk beberapa tahun.